Selasa, 20 Oktober 2009

Buah-buahan tradisional di Kampung Laboi










Buah-buahan tradisional di Kampung Laboi

1. Surapit

Buah Surapit, pertama sekali penulis diperkenalkan oleh rakan-rakan sewaktu sedang berkumpul bersama-sama menunggu Pembeli Getah LIGS, iaitu kira-kira 10 tahun yang lalu. Buah Surapit ini (sila lihat gambar) merupakan buah-buahan tradisional yang terdapat di Kampung Laboi.

Walau bagaimanapun, pada masa kini jarang sekali penulis melihat buah ini dimakan, apatah lagi dijual di tamu-tamu. Pokok buah Surapit ini tergolong dalam keluarga pokok menjalar. Biasanya, pokok Surapit ini menjalar di pokok-pokok seperti getah, kayu renek dan kadangkala di pokok Bambangan. Buahnya berwarna kekuning-kuningan, dan apabila masak menjadi kuning-kemerah-merahan.
Rasa buahnya juga sedikit kelat dan masam manis. Biji buah Surapit besar, membuat si pemakan berasa kurang selesa untuk memakan buah ini. Pada zaman dahulu, (sekitar tahun 1960-an), buah Surapit dijual di tamu-tamu, namun kini buah Surapit tidak lagi menjadi perhatian masyarakat.







2. Tampoi

Buah Tampoi juga merupakan salah satu buah tradisional. Rasanya manis, enak tetapi kurang lembut. Isinya berwarna putih, dan bijinya besar, menyebabkan si pemakan berasa susah untuk menikmati buah ini. Pada masa kini, buah Tampoi juga tidak lagi menjadi perhatian masyarakat, mungkin kerana Pokok Buah Tampoi tidak lagi ditanam oleh masyarakat kita. Walau bagaimanapun, penulis melihat potensi buah tradisional ini untuk dijadikan sebagai salah satu produk komersil sekiranya terdapat R&D oleh pihak-pihak tertentu. Hal ini kerana, isinya yang manis, kulitnya yang keras dan tebal berpotensi untuk dijadikan “junk food”, jeruk dan sebagainya.

3. Cempedak

Cempedak merupakan buah tradisional yang kekal relevan kepada masyarakat kita pada masa kini. Buahnya yang manis, lemak, lembut dan bau harum menjadikannya buah tradisional yang masih menjadi kegemaran masyarakat. Selain itu, buah Cempedak juga telah mengalami transformasi daripada segi R&D.



4. Arui-arui


Buah Arui-arui merupakan sejenis buah hutan, pokok buah Arui-arui ini tergolong dalam keluarga pokok renek. Biasanya, buah Arui-arui digunakan dalam masakan, kerana rasanya yang sangat masam. Masyarakat menggunakan buah Arui-arui untuk memasak masakan seperti sup ikan, jeruk, dan sebagainya. Permintaan untuk buah Arui ini masih lagi tinggi, terutama buah Arui-arui yang telah diproses. Biasanya, buah Arui-arui ini dijemur di bawah terik matahari untuk dikeringkan. Selepas diproses, buah Arui-arui boleh disimpan untuk suatu jangka masa yang lama.


5. Rambai


Buah Rambai juga merupakan buah tradisional. Pada zaman dahulu, buah Rambai begitu diminati oleh masyarakat. Walau bagaimanapun, kini buah Rambai tidak lagi dipedulikan oleh sebahagian besar masyarakat.
Hal ini terjadi kerana buah Rambai mempunyai rasa yang kurang enak, terutama buahnya yang masam-manis, bijinya besar dan susah untuk dipisahkan antara isi dengan bijinya. Seringkali si pemakan akan tertelan bijinya sekali sewaktu memakan buah Rambai.

Walau bagaimanapun, penulis pernah melihat buah Rambai ini dijual di tamu-tamu mingguan.











6. Bambangan

Buah Bambangan masih lagi popular di kalangan masyarakat, malahan permintaannya tinggi setiap kali musim buah tiba. Terdapat banyak jenis buah Bambangan, sama ada besar, kecil, manis, masam dan sebagainya. Buah Bambangan yang manis biasanya dimakan, manakala buah yang masam dijadikan Jeruk Bambangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan