Sabtu, 17 Oktober 2009

Sejarah Kampung Laboi


SEJARAH PERKEMBANGAN KAMPUNG LABOI, BEAUFORT.


PENDAHULUAN.

Kampung Laboi merupakan kampung yang terletak di kawasan Maraba dalam daerah Beaufort. Jarak antara kampung ini dengan pekan Beaufort adalah kira-kira 26 kilometer. Nama Kampung Laboi telah wujud seiring dengan kewujudan kampung ini.

Nama "Laboi" bermaksud "timbul". Nama "Laboi" ini diambil daripada perkataan "malaboi-laboi" iaitu perkataan yang diambil daripada Bahasa Kedayan. Hal ini adalah berdasarkan kepada keadaan persekitaran kampung ini sendiri sewaktu mula-mula diteroka. Menurut Ketua Kampung Laboi, Encik Simon Bolih, Kampung Laboi merupakan kawasan paya/berair sekitar tahun 1950-an iaitu sewaktu peneroka-peneroka ini tiba. Mereka meneroka dengan aktiviti penanaman padi, selain meneroka kawasan bukit-bukau dengan menanam padi huma, syur-sayuran, pokok buah-buahan serta pokok getah.


Penduduk asal kampung ini terbahagi kepada dua iaitu penduduk asal (Kaum Kedayan) dan juga  imigran, iaitu berasal dari pelbagai tempat seperti Tambunan, Kiau, Tamparuli, Ranau, Papar, Penampang dan lain-lain. Penduduk asal kampung Laboi iaitu Kaum Kedayan telah menetap di kampung ini lama sebelum ketibaan kaum imigran. Penduduk kampung yang tiba dari pelbagai tempat di Sabah sebenarnya dibawa oleh pihak estet (British) (Tunah Valley Estate) untuk dijadikan atau bekerja sebagai penoreh getah. Pada masa ini, sebahagian besar daripada penduduk kampung mengamalkan kepercayaan animisme dan masih lagi terikat dengan tradisi dan adat resam peninggalan nenek moyang.

Penduduk kampung yang terawal menetap di Kampung Laboi adalah seperti berikut;

1. keluarga Haji Bongsu Bin Sidek

2. keluarga Godon Madisi

3. keluarga Muyau Dungul


4. keluarga Simon Angbi

5. keluarga Primus Bongkok Langgou

6. keluarga Bernadus Boli

7. keluarga Juakim Majanap

8. keluarga Martin Solutan

9. keluarga Langgau Dungul

Keluarga di atas telah meneroka kampung ini kira-kira tahun 1950-an lagi. Keluarga-keluarga ini bolehlah dianggap sebagai perintis (pioneer) kepada kewujudan kampung Laboi.



SISTEM KEPERCAYAAN.

Seperti yang diterangkan, penduduk kampung Laboi yang tiba lebih awal tidak mempunyai agama dan masih lagi mengamalkan kepercayaan animisme dan adat resam peninggalan nenek moyang. Walau bagaimanapun, pada masa sekarang, majoriti penduduk menganut agama Islam dan Kristian.



MASALAH PENDUDUK.

Oleh kerana jarak antara kampung Laboi dengan pekan Beaufort agak jauh iaitu kira-kira 26km, penduduk kampung menghadapi masalah untuk pergi mendapatkan rawatan di ruamh sakit/dispensari. Hal ini berlaku kerana rumah sakit yang terdekat terletak di pekan Beaufort. Oleh itu, penduduk kampung cenderung menggunakan khidmat bomoh atau dukun Bobohizan sebagai alternatif mengubati pelbagai penyakit.