Rabu, 27 Januari 2010


kehijauan pepohonan yang memeluk erat dada kampung
selalu membuatkan hati kecil ini damai.

kadang kala,
ketika hujan membasahi tanah
aku berlari gembira bermain dengan rakan-rakan
tanpa jemu
dibalut lumpur
kadang kala menggeletar kesejukan.

aku selalu suka
melihat kehijauan alam bermain-main bersama bayu
hingga terbit kasih harmoni melagukan keakraban.

pernah sekali aku tersilap
menganggu damai alam
membunuh flora untuk diri
tapi cepat,
aku insaf lalu alam tersenyum riang.

chainsaw!...berkumandanglah di kampung laboi

dedikasi kepada anak kampung laboi yang jauh di United Kingdom, bertatih sayu ke pelabuhan sepi, semoga kembali menjadi orang.

bunyi kasar itulah yang mengajar aku erti tanggungjawab.
aku selalu mengharapkan agar bunyi chainsaw terus bernyanyi menusuk telinga hati anak-anak kampung.
terlalu berharga suara kasar itu, bagiku.
setiap kali aku mendengar bunyi kasar chainsaw, aku segera kembali melihat hidup. betapa indah kehidupan ini, bertambah indah kenangan itu apabila aku dapat hidup di kampung laboi, kampung indah kampung harmoni yang selalu setia menunggu kepulangan anak-anak.
aku tahu dan selalu sedar bahawa kampung ini telah tercemar, oleh sisa-sisa duniawi ciptaan insan. dan aku juga mengerti, bahawa kampung ini tidak pernah diambil perhatian oleh orang lain.
kampung yang sepi, tapi tidak pernah sekali menangis.
aku tahu itu, kerana bagi insan yang menghirup udara damai kampung, aku selalu merasai, menikmati berkat kedamaiannya.

walau gembira dipeluk sejuk salji,
walau bahagia menghirup udara Bath,
tapi,
kampung laboi...sekejap lagi aku kembali.

aku kenal orang tua itu

aku kenal orang itu, dia dulu pernah, jauh merantau melihat dunia mengutip pengetahuan di pelabuhan sepi. kini orang tua itu kembali, sebagai si tenggang "si tenggang homecoming". alangkah baiknya bila kita mampu mencapai pemikiran sepertinya.
jauh sungguh, berbeza sungguh akal fikiran orang tua itu. betapa jauh pemikirannya dalam melihat setiap perkara, hingga aku kadang kala sepi terkedu.
dia dahulu pernah senyum, senyuman yang wujud daripada gertapan gigi, sungguh asli dan aku tahu, ramai yang mengerti.
namun kini, dia selalu tertawa, ketawa besar-besar hingga kadang kala tersedak. dan aku tahu, itulah ekspresi hati suci kerana, aku kenal orang itu.
ramai memuja pemikirannya, namun lebih ramai memandang sepi, marah dan memandang serong kerana takut. baginya, tiada yang perlu ditakutkan sekiranya kita benar. semua yang kita lakukan mengundang impak, baik dan buruk bergantung kepada penerimaan individu.
terlalu banyak kelebihannya, hingga aku selalu gusar untuk memikirkan kejadian alam.
selalu aku mengharapkan waktu, agar mampu diajar bertatih untuk bekalan ke pelabuhan sepi.

pagi ini ceria,aku teringat kampungku indah

Pagi ini ceria sekali, saat bayu utara membelai manis dada hatiku. Tiba-tiba aku teringat akan suasana kampung yang jauh dari pandangan.
Aku teringat sewaktu dahulu, saat-saat seperti ini aku lebih suka menghabiskan waktu  bermain dengan buku. Begitu indah kenangan, tanpa perlu aku memikirkan untuk menjadi dewasa memikul tanggungjawab hidup.
Alangkah gembiranya berada di kampung, nan indah terperosok arus pembangunan, tanpa kebisingan modenisasi.
rindu aku dengan suara-suara alam, tinggal dan hidup di pinggir hutan tiada yang menganggu dan jauh daripada prasangka negatif manusiawi.
kadang kala aku melihat bahawa keadaan di tanah (itu) tidak pun berubah, sudah begitu lama aku hidup menumpang di atas tanah paya tebus; tapi semua masih seperti dahulu.
 kehijauan, ketenangan serta harmoni masih melindungi kampung itu.

aku berfikir bahawa, kini...sesudah semuanya berlaku, biarlah kampung laboi terus tersembunyi daripada modenisasi, biarlah semuanya seperti sedia kala, seperti 61 tahun yang lalu, biarlah kenangan akan damai itu terus mekar di buai bayu membelai dada kampung laboi.
kadang kala, ketenangan itu lebih bermakna daripada modenisasi.

biarkanlah pemimpin terus terlepas pandang melihat kampung itu, kerana sampai saat ini semua itu tidak bermakna lagi.