Ahad, 18 Oktober 2009

Sistem Pengangkutan: Kajian Kes Di Kampung Laboi




PENDAHULUAN.

Sistem pengangkutan merupakan salah satu cabang keperluan asas dalam memajukan sesebuah lokasi, komuniti atau masyarakat ke arah yang lebih baik. Maka itu, wajarlah jaringan pengangkutan yang baik, boleh digunakan sesuai dengan keperluan dan keadaan setempat diwujudkan. Penulis melihat bahawa sistem atau jaringan pengangkutan yang baik merupakan salah satu agen yang penting yang secara langsung mempengaruhi keseluruhan analisis kemajuan sesebuah lokasi atau tempat, dalam hal ini Kampung Laboi.

Sistem Pengangkutan Di Kampung Laboi.

Ketiadaan jalan raya yang baik merupakan salah satu masalah asas kepada penduduk Kampung Laboi. Selama lebih setengah abad, penduduknya menggunakan laluan yang kurang sempurna, datuk-nenek yang meneroka kampong ini, telah melalui jalan raya ini, keadaannya tidak jauh berbeza. Generasi silih berganti, namun keadaan jalan raya masih lagi menyedihkan. Walau bagaimanapun, penulis masih berasa bersyukur, kerana di Sabah-Negeri di bawah bayu ini, ada beratus malah beribu kampung lagi yang mengalami masalah seperti ini, malahan lebih teruk lagi daripada keadaan jalan raya di Kampung Laboi (contohnya Kampung Saralom, Keningau, Kampung Salinatan, dan lain-lain).
Pada masa dahulu, (sekitar tahun 1950 hingga 198n-an), penduduk membina denai/lorong pejalan kaki sebagai jalan untuk berhubung dengan kawasan sekitar. Hasil tani diangkat oleh penduduk untuk dipasarkan. Pada masa tersebut, penduduk bergotong-royong untuk membina dan menyelenggara jalan di kampong ini.
   Walau bagaimanapun, sesuai dengan peredaran zaman, jalan raya di Kampung Laboi telah dibina oleh pihak estet (Tunah Valley Estate) untuk memudahkan penduduk mengeluarkan hasil tani selain sebagai keperluan asas. Jalan raya ini dikongsi bersama oleh pihak estet dan penduduk kampung dalam kegiatan/aktiviti seharian mereka. Murid-murid sekolah tidak lagi perlu berasa takut untuk berjalan ke sekolah (sekitar tahun 1960-an, murid-murid sekolah yang tinggal di kampung ini mula berjalan kaki menggunakan denai/lorong seawal jam 4.00pagi supaya mereka sempat menaiki kereta api atau trak tentera untuk ke sekolah. Pada masa ini, keadaan denai masih dikelilingi oleh hutan tebal dan murid-murid terdedah kepada perkara-perkara yang berbahaya).
Walau bagaimanapun, berbeza dengan keadaan jalan raya di kampung-kampung sekitar, jalan raya di Kampung Laboi masih lagi berada dalam keadaan yang kurang sempurna. Sehingga kini, penduduk kampung masih lagi bergotong-royong untuk menyelenggara jalan kampung ini.
Walaupun kemajuan kurang berminat untuk singgah di Kampung Laboi, pihak kerajaan telah meluluskan projek pembaikan jalan raya iaitu pada tahun 2007 iaitu menaik taraf jalan kampung kepada jalan gravel sejauh 1.5KM (separuh daripada jarak/simpang masuk ke kampung daripada Trans Borneo Highway). Pembaikan jalan raya di kampung ini telah sedikit sebanyak membantu penduduk kampung dalam urusan seharian mereka,

PENUTUP.
Penduduk berharap agar akan ada lagi projek pembaikan atau naik taraf jalan raya disalurkan ke Kampung Laboi pada masa akan datang. Sesungguhnya, sistem/jaringan jalan raya yang baik mampu membantu pertumbuhan/kemajuan sesebuah kawasan kampung.

Bekalan Air Bersih : Kajian Kes Di Kampung Laboi.



PENDAHULUAN.

Air merupakan keperluan asas bagi setiap individu. Keperluannya mendesak sesuai dengan kepentingannya dalam meneruskan kehidupan. Oleh itu, penulis melihat keperluannya yang mendesak ini wajar diberi keutamaan.

Bekalan Air Bersih Di Kampung Laboi.

  "52 Tahun Merdeka, Kami masih Minum Air Kuning"

Kampung Laboi telah wujud sejak tahun 1950-an (rujukan pada peta daerah Beaufort yang dihasilkan sewaktu Tunah Valley Estate milik British masih wujud), bersama-sama dengan Kampung Maraba, Pulai Manang dan Bukau(dahulunya sebagai stesen pemunggahan hasil getah menggunakan kereta api milik British). Selama kewujudan kampung ini bersama-sama dengan kampung sekitarnya, penduduk kampung menggunakan atau bergantung kepada Sungai Laboi untuk mendapatkan bekalan air bersih(melalui bekalan air paip graviti).
Walau bagaimanapun, seiring dengan peredaran zaman, kampung-kampung sekitar telah menerima bekalan air paip kerajaan, kecuali Kampung Laboi. Sehingga kini, penduduk kampung Laboi masih hidup bergantung kepada paip graviti, tetapi bukan lagi menggunakan sumber air Sungai Laboi (sangat tercemar oleh Kilang Kelapa Sawit Lumadan), tetapi beralih kepada sebatang anak sungai yang mengalir dari kaki bukit bedekatan dengan kampung tersebut.
Pada mulanya, penduduk kampung tidak menghadapi masalah bekalan air paip graviti dari anak sungai ini. Dahulunya,masalah bekalan air hanya timbul apabila tiba musim hujan iaitu paip graviti selalu pecah ataupun sewaktu musim kemarau, iaitu air di empangan kering.
Pada masa sekarang, penduduk kampung terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah berkaitan dengan bekalan air bersih. Masalah utama adalah air daripda anak sungai ini telah menjadi kabut sewaktu hujan(dahulunya air sungai ini sangat jernih, malah ada penduduk kampung yang terus meminum airnya tanpa perlu memasak terlebih dahulu).
Selain itu, anak sungai ini juga telah menjadi cetek, dan bekalan air seringkali terputus. Paip graviti ini telah dibina dan diselenggara secara bergotong-royong oleh penduduk kampung.
Walau bagaimanapun, atas inisiatif Ketua Kampung Laboi, pihak kerajaan telah meluluskan
projek pembaikan paip graviti di kampung ini pada tahun 2007. Selain itu, projek saluran paip air berbayar juga telah dilaksanakan di kampung ini. Walau bagaimanapun, hanya paip asas yang dibina. Saluran paip air berbayar ini masih belum sempurna kerana menunggu siapnya sebuah empangan baru. Jadi, sehingga kini penduduk kampung masih lagi terikat dengan bekalan air paip graviti.

PENUTUP.
Penulis berasa khuatir kerana setiap hari, air daripada anak sungai ini semakin kabut,malahan telah menjadi kuning. Rata-rata penduduk kampung terpaksa beralih kepada air hujan sebagai ganti air paip graviti ini untuk keperluan seharian. Walau bagaimanapun, penulis berasa sangat bertanggungjawab kepada kesihatan penduduk kampung kerana hanya bersebelahan dengan Kampung Laboi, wujudnya Kilang Lumadan, milik penuh Sawit Kinabalu, kilang memproses kelapa sawit. (masalah yang timbul daripada kewujudan kilang memproses sawit ini akan ditimbulkan pada bahagian yang lain).




a lonely kampung

to the dreamer
this is the blessed place to be with
a long road and lonely kampung
is home of kampungan peoples
indigenous
rare to the world.

sometimes
it is hard to live
without hope
because hope is as hard as the star
to reach.

kampungan peoples,
where are the dreams?

to all kampungan boys,
hope is far
for those who hates
journey.