Ahad, 18 Oktober 2009

Bekalan Air Bersih : Kajian Kes Di Kampung Laboi.



PENDAHULUAN.

Air merupakan keperluan asas bagi setiap individu. Keperluannya mendesak sesuai dengan kepentingannya dalam meneruskan kehidupan. Oleh itu, penulis melihat keperluannya yang mendesak ini wajar diberi keutamaan.

Bekalan Air Bersih Di Kampung Laboi.

  "52 Tahun Merdeka, Kami masih Minum Air Kuning"

Kampung Laboi telah wujud sejak tahun 1950-an (rujukan pada peta daerah Beaufort yang dihasilkan sewaktu Tunah Valley Estate milik British masih wujud), bersama-sama dengan Kampung Maraba, Pulai Manang dan Bukau(dahulunya sebagai stesen pemunggahan hasil getah menggunakan kereta api milik British). Selama kewujudan kampung ini bersama-sama dengan kampung sekitarnya, penduduk kampung menggunakan atau bergantung kepada Sungai Laboi untuk mendapatkan bekalan air bersih(melalui bekalan air paip graviti).
Walau bagaimanapun, seiring dengan peredaran zaman, kampung-kampung sekitar telah menerima bekalan air paip kerajaan, kecuali Kampung Laboi. Sehingga kini, penduduk kampung Laboi masih hidup bergantung kepada paip graviti, tetapi bukan lagi menggunakan sumber air Sungai Laboi (sangat tercemar oleh Kilang Kelapa Sawit Lumadan), tetapi beralih kepada sebatang anak sungai yang mengalir dari kaki bukit bedekatan dengan kampung tersebut.
Pada mulanya, penduduk kampung tidak menghadapi masalah bekalan air paip graviti dari anak sungai ini. Dahulunya,masalah bekalan air hanya timbul apabila tiba musim hujan iaitu paip graviti selalu pecah ataupun sewaktu musim kemarau, iaitu air di empangan kering.
Pada masa sekarang, penduduk kampung terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah berkaitan dengan bekalan air bersih. Masalah utama adalah air daripda anak sungai ini telah menjadi kabut sewaktu hujan(dahulunya air sungai ini sangat jernih, malah ada penduduk kampung yang terus meminum airnya tanpa perlu memasak terlebih dahulu).
Selain itu, anak sungai ini juga telah menjadi cetek, dan bekalan air seringkali terputus. Paip graviti ini telah dibina dan diselenggara secara bergotong-royong oleh penduduk kampung.
Walau bagaimanapun, atas inisiatif Ketua Kampung Laboi, pihak kerajaan telah meluluskan
projek pembaikan paip graviti di kampung ini pada tahun 2007. Selain itu, projek saluran paip air berbayar juga telah dilaksanakan di kampung ini. Walau bagaimanapun, hanya paip asas yang dibina. Saluran paip air berbayar ini masih belum sempurna kerana menunggu siapnya sebuah empangan baru. Jadi, sehingga kini penduduk kampung masih lagi terikat dengan bekalan air paip graviti.

PENUTUP.
Penulis berasa khuatir kerana setiap hari, air daripada anak sungai ini semakin kabut,malahan telah menjadi kuning. Rata-rata penduduk kampung terpaksa beralih kepada air hujan sebagai ganti air paip graviti ini untuk keperluan seharian. Walau bagaimanapun, penulis berasa sangat bertanggungjawab kepada kesihatan penduduk kampung kerana hanya bersebelahan dengan Kampung Laboi, wujudnya Kilang Lumadan, milik penuh Sawit Kinabalu, kilang memproses kelapa sawit. (masalah yang timbul daripada kewujudan kilang memproses sawit ini akan ditimbulkan pada bahagian yang lain).




Tiada ulasan:

Catat Ulasan